Terima Kasih, Rakyat Malaysia…

0
266
Program Prihatin Ummah anjuran EZ Qurban Sdn Bhd menyampaikan sumbangan akikah dan beras fidyah dari rakyat Malaysia kepada asnaf serta pelarian di Indonesia, Kemboja, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Kenya dan Ethiopia.

ULANGSIAR KERATAN AKHBAR
Harian Metro – Khamis, 9 Mei 2019

Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my

BAGI meringankan beban pelarian dan asnaf, EZ Qurban Sdn Bhd mengagihkan 1,037 kambing sumbangan rakyat Malaysia di tujuh negara terpilih sepanjang Ramadan ini.

Program Prihatin Ummah itu memilih Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Vietnam, Thailand, Ethiopia dan Kenya untuk penyaluran kambing akikah berkenaan.

Pengurus EZ Qurban Sdn Bhd, Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin ketika dihubungi berkata, pengagihan kambing akikah berkenaan sudah bermula sejak hari pertama Ramadan lalu.

“Kita sudah gerak pasukan ke tujuh negara terbabit untuk memantau proses pengagihan akikah berkenaan. Sehingga tiga Ramadan (semalam), jumlah penyumbang untuk akikah bagi negara terbabit adalah 1,037 kambing.

“Insya-Allah jumlahnya akan bertambah. Amanah diberikan penyumbang akan kita sampaikan kepada penerima yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, lebih 4,200 keluarga akan mendapat manfaat daripada pengagihan kambing akikah itu.

“Diikutkan, jumlah kambing (agihan) memang tidak cukup apatah lagi dilakukan di tujuh negara. Namun, daripada membiarkan mereka tidak dibantu, bantuan kecil ini diharap dapat menggembirakan semua pelarian dan asnaf berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Program Prihatin Ummah kali ini meneruskan kesinambungan penyaluran bantuan tahunan yang dilakukan sebelumnya.

“Sepanjang tahun kita buat akikah di negara terbabit. Namun, ia lebih giat dilakukan sempena bulan suci ini kerana kita tidak mahu mereka iaitu pelarian dan asnaf bersedih dan kekurangan juadah terutamanya ketika berbuka.

“Lagipun, pahala memberi makan orang ketika bulan puasa ini amatlah besar. Kesempatan itu diambil penyumbang untuk melakukan akikah di negara terbabit.

“Peranan kami hanyalah pemudah cara dan pihak yang menguruskan sumbangan berkenaan,” katanya.

Katanya, program akikah ini akan dibuka untuk penyertaan sehingga 6 Jun ini.

Untuk rekod, Program Prihatin Ummah turut menyampaikan sumbangan fidyah berjumlah RM8,591 selain penganjuran majlis berbuka puasa di negara terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 9:59 AM

Sumber:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/05/453737/terima-kasih-rakyat-malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here