10 Soal & Jawab Tentang Puasa (Bhg.2)

38
3585

01. APAKAH PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA?

Perkara yang membatalkan puasa ialah:

  1. Makan dan minum dengan sengaja
  2. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka
  3. Muntah yang banyak (dengan sengaja)
  4. Menelan kahak atau hingus yang telah keluar dari rongganya
  5. Melakukan hubungan kelamin (antara suami isteri)
  6. Melakukan Istimna’ (mengeluarkan air mani)
  7. Keluar darah haid atau nifas
  8. Gila atau pitam sepanjang hari Ramadan
  9. Sengaja berniat untuk membatalkan puasa
  10. Murtad

02. ADAKAH BATAL PUASA, JIKA SESEORANG YANG BERPUASA MAKAN DAN MINUM DENGAN TANPA SENGAJA?

Tidak batal puasanya, walaupun dia telah makan atau minum dengan banyak. Hal ini berdasarkan hadith. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang terlupa sedang dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, (apabila dia teringat kembali) maka hendaklah dia meneruskan puasanya. Sesungguhnya dia telah diberi makan dan minum oleh Allah Taala”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Tambahan: Seseorang yang sedang berpuasa, lalu dia makan dan minum dengan sengaja, dalam keadaan dia tidak mengetahui larangan tersebut kerana jahil atau dia baru memeluk agama Islam, maka puasanya tidak batal, namun dia wajib mempelajari hukum hakam berkaitan ibadah puasa.

03. KETIKA SEDANG BERSAHUR, AZAN SUBUH BERKUMANDANG. LALU DIA MENELAN BAKI MAKANAN ATAU MINUMAN YANG MASIH ADA DI DALAM MULUTNYA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Ya. Batal puasanya, dan dia wajib Imsak sepanjang hari tersebut, iaitu dia hendaklah meneruskan puasanya seperti biasa walaupun ianya telah batal. Kemudian dia hendaklah menggantikan puasanya itu. Sama juga dengan orang yang sedang melakukan hubungan kelamin antara suami dan isteri, tiba-tiba azan subuh berkumandang. Jika pasangan suami dan isteri itu tidak mengakhiri hubungan tersebut, maka batallah puasanya.

04. MENELAN AIR LIUR KETIKA BERPUASA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Menelan air liur yang berada di dalam rongga mulut adalah tidak membatalkan puasa, kerana ia termasuk perkara yang sukar untuk mengawalnya. Tetapi jika air liur tersebut diluahkan atau dikeluarkan daripada rongga mulut kemudian ditelan semula, maka batal puasanya.

Begitu juga hukumnya menelan kahak atau hingus yang telah diluahkan. Sekiranya dia menelan kembali, maka batal puasanya. Tetapi jika kahak itu hanya tersekat di kerongkong, kemudian ia telan atau kahak tersebut turun ke dalam perutnya dengan sendiri, maka tidak batal puasanya.

Tambahan: Sekiranya air liur tersebut telah bercampur dengan najis seperti darah gusi, dan dia tidak meluahkan atau membasuh mulutnya, kemudian dia menelannya, maka batal puasanya.

05. ADAKAH ORANG YANG MUNTAH KETIKA SEDANG BERPUASA ITU PERLU MENGGANTIKAN PUASANYA?

Sekiranya dia muntah dengan tidak sengaja, maka tidak batal puasanya dan dia tidak perlu menggantikan puasanya. Hal ini berdasarkan hadith. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَمَنِ اسْتَقَاءَ عَمْدًا فَلْيَقْضِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang muntah (dengan tidak sengaja) maka tidak wajib qadha’ puasa ke atasnya, dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka hendaklah dia menggantikan puasanya”. (HR. At-Tirmidzi)

06. APAKAH HUKUM ISTIMNA’ KETIKA SEDANG BERPUASA (MASTURBASI)?

Istimna’ bermaksud melakukan onani atau masturbasi dengan sengaja, iaitu perbuatan mengeluarkan air mani tanpa melalui jalan persetubuhan, samada dengan cara bercumbuan, atau mengeluarkannya tangan sendiri atau dengan tangan isterinya. Dalam  hal ini, maka batal puasanya dan diwajibkan qadha’ puasanya.

Jika sekiranya air mani itu keluar dengan sendirinya disebabkan bermimpi di siang hari Ramadan, atau dia melihat kemaluan dengan berulang kali tanpa menyentuh kemaluan, ataupun dia membayangkan hubungan kelamin tanpa menyentuh kemaluannya, maka tidak batal puasanya. Justeru, hukum perbuatan Istimna’ ini adalah haram (kecuali keluar mani dengan sebab bermimpi) sama seperti hukum bersetubuh di siang hari Ramadan.

07. ADAKAH WANITA YANG DIDATANGI HAID ATAU NIFAS PERLU IMSAK SEPANJANG HARI RAMADAN?

Wanita yang sedang dalam keadaan haid atau nifas tidak perlu imsak sepanjang hari Ramadan. Malah dia diharuskan untuk makan dan minum seperti biasa. Walaupun demikian, dia tidak boleh sewenang-wenangnya makan dan minum di khalayak ramai, maka dia hendaklah menghormati saudara-saudara seagamanya yang sedang berpuasa.

08. ADAKAH DIBENARKAN WANITA MEMAKAN PIL (UBAT) PENAHAN HAID, KERANA UNTUK BERPUASA PENUH DI BULAN RAMADAN?

Dalam hal ini adalah dibenarkan mengikut pendapat sebahagian para ulama’. Namun begitu, dia hendaklah mendapatkan nasihat doktor pakar terlebih dahulu, supaya ianya tidak memudharatkan kesihatannya. Tetapi sebaik-baiknya (afdhal) dia tidak mengambilnya dan dia kekal mengikut takdir Allah SWT terhadap wanita.

09. BOLEHKAH MENGOREK HIDUNG ATAU TELINGA KETIKA SEDANG BERPUASA?

Harus mengorek hidung atau telinga kerana gatal, atau ingin membersihkannya. Para ulama’ dalam mazhab As-Syafie menghadkan harus mengorek hidung dan telinga tidak sampai pada had batin. Sekiranya mengorek hidung atau telinga dengan tanpa apa-apa tujuan atau keperluan, maka hukumnya adalah makruh.

Huraian: Had batin bagi hidung adalah melepasi tulang hidung. Manakala had bagi telinga ialah sampai kepada gegendang telinga.

10. BAGAIMANAKAH PULA HUKUM SESEORANG YANG BERPUASA TIDUR DI SEPANJANG HARI RAMADAN?

Tidur adalah perkara yang diharuskan oleh syarak melakukannya pada bila-bila masa yang dikehendaki. Namun, perbuatan tersebut menjadi makruh apabila seseorang yang berpuasa itu tidur di sepanjang hari Ramadan, kerana dia telah mensia-siakan peluang untuk mempertingkatkan beribadah di bulan Ramadan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

an, kerana dia telah mensia-siakan peluang untuk mempertingkatkan beribadah di bulan Ramadan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Huraian: Perbuatan tersebut hukumnya boleh bertukar menjadi haram, sekiranya seseorang yang berpuasa tidur sepanjang hari Ramadan lalu dia meninggalkan kewajipan menunaikan solat fardhu subuh, zohor dan asar.  Bulan Ramadan bukanlah bulan untuk tidur, bahkan tidur itu tidak membatalkan puasanya.

38 COMMENTS

      • Wa’alaikumussalam Wati, muntah sedikit dimaafkan. Tetapi jika muntah dengan banyak, maka batal puasa.

  1. Assalamualaikum ustaz, kalau dtg haid, tp keluar darah ‘brown spot’ utk sehari sahaja, hr esok dn seterusnya tak keluar darah.. Adakah wajib untuk teruskan berpuasa.. Terima kasih

    • Wa’alaikumussalam Lina, tempoh Haid bagi wanita dalam mazhab syafie paling sedikit adalah sehari semalam, dan maksimum 15 hari.
      Bagi kes cik / puan ini, jika tiada darah keluar pada hari berikutnya (dengan yakin dan pasti) maka boleh berpuasa seperti biasa. Jika sebaliknya (was-was) maka tidak perlu berpuasa dulu, sehingga benar2 yang darah haid tersebut telah berhenti keluar.

  2. assalamualaikum ustaz.. maaf saya hamba Allah yang selalu membuat kesilapan tanpa sedar… disini saya ingin menanya kepada ustaz, adakah batal puasa kita jika air mazi lelaki keluar tanpa disedari ataupon kemaluannya tidak dipegang langsung senang ia hanya melihat benda yang boleh meningkatkan nafsu, dan satu lagi adakah batal puasa seseorang itu jika ia jilat sesuatu ketika puasa? dia sedari, tapi keadaan itu dengan cepat berlalu lalu ia tersedar bahawa diri nya sedang berpuasa… dia ingin meneruskan ibadah puasanya tetapi dalam keadaan ragu2… mintak penjelasan dari ustaz ya.. assalamualaikum

    • Wa’alaikumussalam Hafiz, keluar air mazi tidak membatalkan puasa meskipun ia keluar disebabkan perbuatan yang boleh menaikkan nafsu syahwat, seperti bercumbuan, bercium atau melihat sesuatu yang mengghairahkan. Namun hukum perbuatan tersebut adalah makruh lit tahrim (iaitu makruh yang hampir kepada haram) kerana ianya boleh mengurangkan kualiti serta merosakkan ibadah puasa. Dan menjilat sesuatu juga adalah makruh, atau jika menjilat makanan lalu menelan ia, maka batallah puasanya.

      Contohnya: seperti menipu atau mencuri. Perbuatan menipu atau mencuri di siang hari bulan Ramadan adalah haram di sisi islam, namun ia tidak membatalkan puasa. Tetapi, ia telah mencemari kesucian bulan Ramadan.

      Semoga Allah SWT memelihara diri tuan dan kita semua daripada sebarang perbuatan dosa yang boleh merosakkan amal ibadah kita. Amin.

      • terima kasih ustaz atas penjelasannya… mudah-mudahan diampuni Allah s.w.t… doakan saya kekal beriman dan selamat dunia akhirat ustaz… Alhamdulillah sekarang saya sikit2 nak dekatkan diri saya pada Allah s.w.t… doakan saya supaya kekal bertaqwa dan dipermudahkan segala urusan saya walaupun masih lagi berbuat dosa… insyallah saya bertaubat… terima kasih banyak2 ustaz… assalamualaikum

  3. Asalamwalaikum ustaz…ap hukum kalau kita menjalani ujian saringan ( annex 14 ) covid19 ketika berpuasa…???

    • Wa’alaikumussalam, hukum melakukan ujian saringan covid-19 adalah batal puasa kerana salah satu bentuk ujian yang perlu dibuat ialah dengan kaedah ‘swab’ pada rongga hidung dan mulut. Sedangkan hukum memasukkan sesuatu ke rongga yang terbuka seperti hidung dan mulut adalah membatalkan puasa, meskipun untuk tujuan kesihatan atau perubatan. Maka, ia perlu menggantikan puasanya.

      Untuk menentukan sah atau batal puasanya, ia diambil kira berdasarkan kedalaman memasukkan alat swab atau putik kapas ke dalam lubang hidung dan mulut, kerana apabila telah sampai ia kepada had batin. Inilah pandangan muktamad dalam mazhab As-Syafie, Jika ujian swab tidak sampai kepada had batin, maka tidak batal puasa.

    • Wa’alaikumussalam Wani, asas kepada perkara yang membatalkan puasa ialah “masuk sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka” seperti memasukkan makanan atau minuman ke dalam mulut, memasukkan jari ke dalam telinga atau libung hidung dsb. Tetapi, ada juga perkara yang ‘keluar dari rongga’ dikira batal puasa, seperti muntah (dengan sengaja) atau mengeluarkan air mani (dengan sengaja).

      Adapun mengenai kerawit yang keluar itu tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak dikira sebagai perbuatan membatalkan puasa menurut pandangan ulamak feqah.

  4. Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya batalkah puasa kalau saya tgh minum air tapi ketika azan subuh tapi ketika saya tgh minum tu saya tak dengar azan. Saya sedar dah azan bila saya buka radio. Itupun azan sudah bahagian ‘اشهد ان لا اله الا الله’. Batal ke ustaz? Terima kasih

    • Wa’alaikumussalam Ain, batal puasa kerana makan ketika telah masuk waktu subuh, walaupun tidak mendengar azan ataupun menyedari telah masuknya waktu solat subuh. Maka, hendaklah menggantikan puasa pada hari yang lain.

  5. Assalamualaikum ustaz, saya nak bertanya sbg wakil. Batal ke puasa kalau bermimpi basah tetapi cuba untuk menahan di siang hari. Selepas itu, terdapat bengkak pada zakar kerana menahan mani daripada keluar. Boleh ke mengeluarkan mani tersebut kerana sakit? Adakah ia berdosa jika air mani tersebut di keluarkan dengan urutan tangan. Atau ada cara yang lain untuk elakkan mani tersebut keluar.

    • Wa’alaikumussalam Unknown, hukum mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah berdosa dan batal puasa. Samada ianya dikeluarkan melalui urutan tangan atau disebabkan bercumbuan bersama pasangan. Dan perbuatan mengeluarkan air mani disebabkan sakit juga adalah batal puasa.

      Adapun jika air mani itu keluar disebabkan mimpi – tidak membatalkan puasa. Kerana mimpi adalah mainan tidur yang tidak boleh diatur dengan sendirinya. Namun, jika terdapat masalah pada alat kelamin, sila rujuk kepada pakar perubatan yang berkaitan.

  6. Salam Ustaz,

    Saya nak tanya untuk solat tahajjud, sekiranya saya tunaikan selepas sahur, adakah masih sah?

    Saya baca waktu tahajjud adalah selepas 12am selepas tidur yg seketika, tetapi persoalannya adalah apabila saya bangun, saya bersahur dahulu kerana takut terlambat, baru tunaikan tahajjud, adakah sah?

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, waktu solat tahajud adalah pada 1/3 akhir malam sehingga masuknya waktu subuh. Maka boleh dilakukakn solat tahajud setelah bersahur, jika masih belum masuk waktu subuh.

  7. Assalamualaikum Ustaz, seperti yang ustaz beritahu, batal puasa sekiranya habiskan air dalam mulut dan yg ada di tangan ketika azan sudah berkumandang, tetapi bagaimana jika saya baru tahu sebenarnya tidak boleh, sblum ni saya beranggapan boleh habiskan air di tangan, kerana terikut beberapa pendapat atau salah faham mengenai hadis, tpi selepas tahu nie saya takkan buat dah, cuma nk tye bagaimana puase pada hari tersebut, adakah batal , ataupun jatuh pada tidak mengetahui larangan/jahil?

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, tidak perlu khuatir tentang hal itu. Sebab itu, islam menganjurkan supaya perbanyakkan berpuasa sunat, bagi menutup kecacatan dan kekurangan dalam puasa wajib yang telah kita lakukan. Mohon ampun pada Allah SWT dan semoga Allah memaafkan kita di atas kejahilan pada masa lalu, serta menerima amal ibadah kita yang serba kekurangan ini. Insya’Allah.

      • Terima kasih atas jawapan ustaz, cuma saya nk tahu adakah dikira batal puasa saya ustaz, pgi tdi saya buat perkara yg sama, dalam keadaan tidak tahu, selepas itu, tiba2 terlintas dalam hati utk cuba cari balik hukum itu, and dapat tahu rupenyer batal, cuma dalam keadaan skrg saya musykil batal atau tidak sempurna sahaja puasa saya dlam keadaan sebegini 🙁 , silap saya juga yg kurang pengetahuan huhu

  8. Assalamualaikum ustaz,kalau lah saya keluar air mani secara sengaja (onani),tetapi saya tak tahu yang perkara itu membatalkan puasa dan bila terkeluar tu baru sedar yang saya sedang puasa,adakah puasa saya masih sah atau sudah terbatal?Mohon penjelasan.

  9. Salam Ustaz,

    Adakah sah zakat fitrah kita tanpa akad sebab saya telah membuat pembayaran tetapi dia keluar ayat akad. Jadi saya buat pembayaran tanpa akad.

    Terima kasih Ustaz.

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, sah zakat fitrah tanpa akad. Kerana akad dalam transaksi zakat hukumnya adalah sunat sahaja.

  10. Assalamualaikum ustaz
    Saya hendak bertanya batalkah puasa jika saya sahur selepas adzan tapi secara tidak sengaja tidak tahu yang adzan subuh sudah berkumandang.Terima kasih ustaz

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, batal puasa kerana perbuatan makan itu dilakukan ketika sudah masuk waktu subuh.
      Hal ini berbeza dengan makan kerana terlupa / tidak sengaja ketika sedang berpuasa.

  11. Assalamualaikum ustaz
    Saya hendak bertanya batalkah puasa jika saya sahur selepas adzan tapi secara tidak sengaja tidak tahu yang adzan subuh sudah berkumandang.Terima kasih ustaz..

    • Wa’alaikumussalam Siti, batal puasa jika muntah dengan banyak dan berulang kali.

  12. Assalamualaikum ustaz. Saya pernah melakukan onani dahulu Dalam keadaan jahil, tk tahu perkara itu membatalkan puasa. Setelah bertahun tahun baru saya tahu. Perlu ke saya qada Dan bayar fidyah? Dan boleh ke saya bayar fidyah beransur ansur kerana kesempitan wang?

    • Wa’alaikumussalam Ecah, wajib qada’ (ganti) puasa yang telah luput akibat perlakuan onani atau sebab-sebab yang lain. Dan boleh membayar fidyah secara ansuran.

  13. Assalamualaikum ustaz Mohd Amirul…. Saya ingin bertanya… Saya mula akil baligh hingga ke hari ini, sekarang saya sudah berumur 23 tahun tidak pernah puasa penuh setiap tahun…Saya Tergerak Hati nak Ganti semua Dari dulu hingga ke harini puasa saya yang sudah saya tinggalkan… Tapi masalahnya saya tak tahu berapa banyak yang saya tinggalkan saya lupa ustaz… Dan kalau nak ganti puasa bertahun- tahun saya tinggalkan itu, Hari apa yang boleh saya ganti dan Hari apa yang haram untuk kita qadha puasa itu… Saya ada tengok Di youtube, ada banyak berpendapat, Saya keliru ustaz… boleh ustaz bagi saya Hari apa yang boleh dan Hari apa yang tidak boleh? …

    • Wa’alaikumussalam محمد حافظ , mana-mana puasa Ramadan yang telah luput, maka ia wajib diganti sebanyak hari puasa yang telah ditinggalkan. Sekiranya terlupa bilangan harinya, ambillah jumlah purata dalam sebulan Ramadan. Contoh, lazimnya seorang individu itu tidak berpuasa 5-7 hari, maka dia hendaklah menggantikan puasa mengikut bilangan hari secara purata.

      Boleh menggantikan puasa pada bila-bila masa sahaja, kecuali pada 2 hari raya (raya pertama aidilfitri dan raya pertama,2,3&4 aidiladha) dan hari syak iaitu pada 30 sya’ban.

  14. Assalamualaikum ustadz.. Boleh kita meneruskan puasa kita itu tanpa bersahur tetapi sdh berniat dlm hati pd malam harinya utk berpuasa pada esok harinya…

    • Wa’alaikumussalam Edayu, boleh teruskan berpuasa walaupun tanpa bersahur, kerana hukum bersahur adalah sunat sahaja. Akan tetapi, bersahur itu ada keberkatan padanya. Maka sebaiknya jangan ditinggalkan.

  15. Assalamualaikum ustadz.. Bolehkah kita meneruskan puasa kita itu tanpa bersahur tetapi sdh berniat dlm hati pd malam harinya utk berpuasa pada esok harinya…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here