10 Soal & Jawab Tentang Puasa (Bhg.1)

121
5480

01. ADAKAH SAH PUASA TANPA NIAT?

Tidak sah puasa tanpa niat. Dan tidak juga memadai hanya melafazkan niat sahaja dengan lisan, tanpa dimasukkannya ke dalam hati.

02. BAGAIMANAKAH CARA BERNIAT PUASA?

Niat puasa Ramadan mestilah mengikuti beberapa syarat berikut:

  1. Hendaklah berniat puasa pada waktu malam.
  2. Menentukan jenis puasanya.
  3. Niat dilakukan pada setiap malam Ramadan.

Huraian: Seseorang yang berpuasa hendaklah berniat puasa pada waktu malam iaitu sebelum terbitnya fajar. Sekiranya dia tidak berniat puasa hingga telah terbit fajar, maka puasanya tidak sah. Hal ini berdasarkan hadith. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَلا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka puasanya tidak sah (tidak diterima)”. (HR. Al-Baihaqi: 7909)

03. APAKAH LAFAZ NIAT BERPUASA?

Berikut adalah lafaz niat puasa Ramadan yang dianjurkan oleh para ulama’:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِرَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى.

Maksudnya: “Sahaja aku berniat untuk berpuasa pada esok hari dalam bulan Ramadan, pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”.

Sunat melafazkan niat puasa ini untuk menambah keyakinan di dalam hati. Maka hendaklah dilafazkannya dengan niat yang sama seperti apa yang terlintas di dalam hati.

04. SEKIRANYA TELAH BERNIAT PADA WAKTU MALAM, KEMUDIAN DIA MAKAN DAN MINUM, ATAU MELAKUKAN HUBUNGAN KELAMIN, ADAKAH TERBATAL NIAT PUASANYA?

Makan, minum dan melakukan hubungan kelamin tidak menjejaskan niat puasanya, kerana hal yang demikian adalah dibenarkan oleh syarak melakukannya sehingga terbit fajar, iaitu sehingga menjelang masuknya waktu subuh.

05. SESEORANG YANG BERPUASA, KEMUDIAN DIA SENGAJA BERNIAT UNTUK BERBUKA PADAHAL BELUM SAMPAI WAKTUNYA? ADAKAH BATAL PUASANYA?

Mengikut pendapat Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah: Seseorang yang sedang berpuasa, kemudian dia berniat untuk berbuka, maka batallah puasanya sekalipun beliau tidak berbuka. Ini kerana, niat merupakan salah satu rukun puasa”.

06. KETIKA SEDANG BERSAHUR, AZAN SUBUH BERKUMANDANG. LALU DIA MENELAN BAKI MAKANAN ATAU MINUMAN YANG MASIH ADA DI DALAM MULUTNYA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Ya. Batal puasanya. Walaupun begitu, dia hendaklah Imsak (menahan diri) daripada makan dan minum di sepanjang hari tersebut, dan dia wajib meneruskan puasanya seperti biasa walaupun ianya telah dikira batal. Kemudian dia hendaklah menggantikan puasanya itu. Sama juga dengan orang yang sedang melakukan hubungan kelamin, tiba-tiba azan subuh berkumandang. Jika pasangan suami dan isteri itu tidak mengakhiri hubungan tersebut, maka batallah puasanya.

07. MENELAN AIR LIUR KETIKA BERPUASA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Menelan air liur yang berada di dalam rongga mulut adalah tidak membatalkan puasa, kerana ia termasuk perkara yang sukar untuk mengawalnya. Tetapi jika air liur tersebut diluahkan atau dikeluarkan daripada rongga mulut kemudian ditelan semula, maka batal puasanya.

Begitu juga hukumnya menelan kahak atau hingus yang telah diluahkan. Sekiranya dia menelan kembali, maka batal puasanya. Tetapi jika kahak itu hanya tersekat di kerongkong, kemudian ia telan atau kahak tersebut turun ke dalam perutnya dengan sendiri, maka tidak batal puasanya.

Tambahan: Sekiranya air liur tersebut telah bercampur dengan najis seperti darah gusi, dan dia tidak meluahkan atau membasuh mulutnya, kemudian dia menelannya maka batal puasanya.

08. ADAKAH DIBENARKAN SEORANG TUKANG MASAK MERASAI MASAKANNYA KETIKA SEDANG BERPUASA?

Harus bagi tukang masak merasa masakannya, namun ia sekadar merasai dihujung lidahnya sahaja. Hal yang demikian tidak membatalkan puasanya.

09. SESEORANG YANG BERPUASA MENELAN SISA MAKANAN YANG TERLEKAT DI CELAH-CELAH GIGINYA, ADAKAH BATAL PUASANYA?

Ya. Batal puasanya, sekiranya dia sengaja menelan sisa makanan tersebut (padahal dia mampu meluahkannya). Jika dia tertelan bersama air liurnya, disebabkan sukar untuk membeza atau meludahkannya kerana ada halangan, maka hal ini dimaafkan dan tidak batal puasanya.

10. ADAKAH MEROKOK BOLEH MEMBATALKAN PUASA?

Ya. Batal puasa dengan sebab merokok, mengikut pendapat jumhur ulama’ sepertimana yang telah dinukilkan dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji Mazhab As-Syafie. Dalam hal ini, dia hendaklah menggantikan puasanya dan dikenakan kaffarah, kerana sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

121 COMMENTS

    • Wa’alaikumsalam Izdor, makan tanpa sengaja ketika berpuasa adalah dimaafkan dan tidak membatalkan puasa.

      • assalamualaikum ustaz. adakah bule berpuasa sunat pada hari ini 23/4/20(khamis) tetapi keesokkannya puasa 1 ramadan 23/4/2020(jumaat). adakah tarikh harini ini hari tasyrik. mohon pencerahan. terima kasih

        • Wa’alaikumussalam Ajib, puasa pada hari terakhir bulan Syabaan adalah termasuk jenis puasa yang Haram. Kerana hari tersebut dinamakan hari Syak (Ragu-ragu) hari penentuan samada esok puasa atau bagaimana. Sebahagian ulamak berpendapat bahawa, puasa selepas setengah bulan terakhir (16-30 Sya’ban) adalah haram berpuasa.

          Maka, tidak boleh berpuasa sunat pada hari khamis iaitu 23/4/2020

    • Assalamualaikum saya Ada satu soalan Kalau rasa makanan dalam mulut berada dihujung lidah Dan saya perasan Dia Sudah Ada dlm tekak bila saya telan Dia terasa makanan tu Batalkah puasa saya (maaf pelik sedikit

      • Wa’alaikumussalam Maria, harus tukang masak merasa makanan yang dimasak hanya pada hujung lidah sahaja. Jika ditelan, maka batal puasanya. Dalam hal yang dinyatakan oleh cik/puan Maria, makanan sudah berada di bahagian tekak – maka batal puasa dan wajib diganti pada hari yang lain.

  1. Assalammualaikum ustaz

    Kalau masa tengah azan subuh masih berkumandang, kemudian kita tak berniat lagi untuk puasa ganti and kemudian kita terus berniat puasa ganti masa azan subuh masih belum habis dikumandangkan.

    Adakah sah puasa ganti saya tu

  2. assalamualaikum ustaz.. semalam kawan sy tny nk puasa ke tak, dan sy hnya jawab insyaAllah,, sah ke puasa sy?

    • Wa’alaikumussalam Zakira, setiap ibadah itu wajib disertakan dengan niat yang jelas. Sepertimana ibadah puasa juga, tidak memadai sekadar lafaz: “insya’Allah…aku akan berpuasa” tetapi, ia memerlukan niat yang jelas dan yakin seperti: “aku berniat untuk berpuasa sunat / wajib pada esok hari kerana Allah Taala” ….supaya kita dapat menghindari daripada rasa was was di dalam hati.

  3. Assalamualaikum ustaz,
    Kalau kita dah niat puasa qada, tapi esoknya tu kita terlepas sahur and tak jadi puasa. Kena double ganti ke ustaz and berdosa ke?

    • Wa’alaikumussalam Nur Atiqah, membatalkan niat puasa wajib seperti puasa qada’ dengan sengaja tanpa keuzuran hukumnya haram dan berdosa. Dia perlu menggantikan sahaja puasa tersebut dan tidaklah menjadi double qada’.

      Tetapi, jika sekiranya anda telah berniat pada waktu malam, maka puasa qada’ itu sah dan boleh diteruskan meskipun tidak sempat bersahur.

      • Assalamualaikum ustaz.

        Macam mana pula kalau seorang ibu menyusukan anak berbuka puasa sebab terlupa bangun sahur. Bangun tido pun sudah rasa lapar. ?

        • Wa’alaikumussalam Zira, tidak berpuasa kerana menyusukan anak dan terlupa bangun sahur adalah 2 keadaan yang berbeza.

          1. Tidak bangun sahur, tetapi jika sudah berniat pada waktu malam, maka boleh teruskan berpuasa seperti biasa.

          2. Jika si ibu tidak larat / tidak mampu berpuasa kerana menyusukan anak, maka dia wajib ganti puasa dan dikenakan bayar fidyah pada tahun yang sama – mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkan atas sebab2 demikian. Tetapi, perbuatan ini tidak berdosa dan diharuskan.

      • Assalam ustaz sya nk tnya malam tadi saya sudah Baca niat puasa tetapi sebelum sahur sya tidak sengaja keluar air mani.adakah sya masih boleh puasa? Terima kasih ustaz

        • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, keluar air mani pada waktu malam tidak menjejaskan niat puasa. Kerana tempoh waktu puasa ialah bermula terbit fajar (azan subuh) sehingga terbenam matahari (azan maghrib), dan dalam tempoh berkenaan kita dilarang melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa termasuk mengeluarkan air mani dengan sengaja (kecuali melalui mimpi).
          .
          Boleh terus berpuasa dan jangan lupa mandi wajib.

          • Assalamualaikum ustaz saya nak tanya, kalau pada waktu malam saya terlupa nak niat puasa dalam bahasa arab tu tapi saya ada mengingatkan adik saya yg esok nak puasa dan mmg dah set alarm nk bangun sahur tapi x bangun sahur, adakah sah utk puasa?

  4. Salam ustaz, saya nak tanya. Kalau saya ada niat “esok aku nak puasa nazar lah” pada semalam dan sya tak baca niat yang betul untuk berpuasa sebab tersedar je dah habis azan. Masih boleh teruskan berpuasa ke ustaz ?

    • Wa’alaikumussalam Rina, lafaz atau ucapan “esok aku nak puasa nazar lah” sudah dikira sebagai niat, dan boleh diteruskan puasa nazar walaupun tidak sempat bersahur.

  5. Assalamualaikum ustaz, pada hari saya berpuasa,saya pernah bermimpi melihat kemaluan orang lain tetapi tidak sampai mengeluarkan air mazi/mani..adakah puasa saya yang selepas-lepas hari berikutnya sah jika saya tidak tahu bahawa pada hari tersebut saya perlu mandi wajib?adakah saya perlu mengganti balik puasa tersebut?

    • Wa’alaikumussalam Aisyjiehah, tidak batal puasa jika sekiranya seseorang itu bermimpi sehingga terkeluar air mani. Maka, dia hanya perlu mandi wajib dan boleh teruskan berpuasa tanpa ragu. puasanya sah dan tidak batal.

  6. Assalamualaikum Ustz klaw saya puasa ganti tpi saya was2 saya niat atau belum lepas tu saya bukak puasa adakah saya perlu ganti double puasa

    • Wa’alaikumussalam Hannah’s, dalam mana-mana ibadah juga, wajib disertakan niat dengan penuh yakin, tanpa ada was-was. Jika ragu2 atau was-was samada sudah berniat puasa atau belum, maka puasa tersebut tidak sah. Dan puasa pada hari itu perlu diganti, tetapi tidak double puasa.

  7. Assalam ustaz. Sy nk tanya. Kalau sy qada’ puasa pstuu sy terniat dlm hati nak batalkan puasa qada’ tu tetapi sy tak berbuka puasa pun dan tak jadi nk batalkan puasa dan tetap terus meneruskan puasa seperti biasa. Sah ke puasa tu? Atau saya kena ganti dua kali?

    • Wa’alaikumussalam Syasya. Jika berniat untuk membatalkan puasa, automatik puasa boleh jadi batal terus walaupun tidak makan dan minum atau berbuka puasa pada waktu itu. Maka, jika dah terbatal puasa, perlu ganti puasa Qada’ tersebut. Tidak kena ganti 2 kali.

      • assalam..ust saya nk tanya jika kite melakun persetubuhan brsama isteri pada malam hari selepas berbuka…selepas bersahur boleh kah kita laksanakan utk mandi wajib?

        • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, sepanjang waktu malam (selepas berbuka puasa hingga sebelum masuk waktu subuh) adalah waktu yang dibenarkan untuk suami bersama dengan isteri. Dan boleh saja melakukan mandi wajib selepas bersahur. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

          أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

          Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)” – Surah Al-Baqarah, Ayat 186.

  8. Assalamualaikum ustaz . macam mana kalau saya was2 dah ganti puasa atau belum ? . tetapi family saya bagitahu saya dah ganti awal2 selepas hari raya . tapi saya tidak ingat . jadi perlu ka saya ganti puasa balik ?

    • Wa’alaikumussalam Bella, jika ada sesuatu (seperti family) yang membantu untuk mengingatkan kembali, maka terangkatlah rasa waswas itu. Jadi, ambil sangkaan sudah diganti puasanya.

  9. assalammualaikum ustaz, sy nk tnya .sekirany sy sd brniat puasa utk kesokkn hriny n then sya sd bgun utk bersahur,tpi rupany wktu sahur da limpas,sya xtau azan brkumdg.bila sya lihat wktu solat,wktu fajar sdpun limpas, sya merasa rgu tuk teruskn puasa. adakah puasa sya itu batal atau tdk ustaz?

    • Waalaikumussalam Nursuhaini, jika bangun pagi dan makan sahur sesudah masuknya waktu subuh, puasanya tidak sah. Maka puasa pada hari itu perlu diganti.
      Tapi, kalau bangun pagi belum sempat makan sahur dah masuk waktu subuh, maka boleh diteruskan puasa walaupun tanpa makan sahur, tetapi syaratnya mesti sudah berniat pada waktu malam.

  10. Assalamualaikum ustaz.. Kalau semalam saya berniat nak puasa ganti tapi tak pasti lagi nak puasa ke tak..tapi lepas subuh saya niat puasa sunat.. Sah tak puasa saya?

    • Wa’alaikumussalam Hizwani, jika niat berpuasa ganti, adab dan syarat2 nya sama seperti kita berpuasa wajib ramadan. jika berpuasa sunat, kalau belum makan apa2, bangun subuh tu boleh saja terus berpuasa. jadi ada sedikit perbezaan syarat niat bagi puasa sunat kerana ia tidak wajib berniat pada waktu malam.

    • Wa’alaikumussalam Muhammad, membaca doa berbuka puasa hukumnya adalah sunat sahaja. Afdhal dibaca kerana ia merupakan adab-adab berpuasa. Walau bagaimanapun, jika tidak dibaca atau terlupa, ia tidak menjejaskan ibadah puasa.

  11. Assalamualaikum ustaz.

    Kalau saya dah berniat ganti puasa pada malam hari, bangun sahur dan cuma minum air sahaja. Selepas itu, saya berubah fikiran mengenai ganti puasa dan berniat untuk menggantikannya pada hari akan datang. Setelah keesokkan harinya, saya belum makan minum lagi tapi ingin meneruskan puasa ganti saya tapi was was sebab saya kan dah berubah fikiran semasa sahur tu..

    Adakah puasa saya tetap sah jika di teruskan?

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, hukum puasa ganti adalah wajib. Kaedah, syarat2 dan rukunnya sama seperti puasa wajib ramadan, cuma niat dan masanya saja berbeza. Kalau kita batalkan puasa ganti dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, maka hukumnya adalah haram.

      Kalau berubah fikiran, bermaksud telah berubah niat. maka tidak sah puasa jika telah berubah niat, walaupun dalam keadaan waswas. Maka bila berpuasa, hendaklah berniat dengan yakin dan tidak merosakkan niat tersebut.

  12. Assalamualaikum uztaz saya msih mkn juga ketika azan subuh, (x tahu selepas azan x boleh mkn lagi) adakah puasa saya itu sah atau sudah terbatal? Ini utk puasa ganti

    • Wa’alaikumussalam Saleh, batal puasa jika kita meneruskan makan ketika sudah berkumandang azan subuh. Maka wajib diganti semula puasa pada hari tersebut.

  13. Salam Ustaz, ada cara tak saya nak bayar kaffarah. Tahun lepas saya ada terlanjur 3 hari bersetubuh dgn isteri saya. Bagaimana dan berapa saya perlu bayar kaffarah? Adakah 180 beri makan pada org miskin? Boleh kah saya bayar di Ez qurban?

    • Wa’alaikumussalam tuan, Kaffarah wajib dibayar – samada dengan memberi makan secara langsung kepada 180 orang fakir miskin, ataupun membayar kaffarah sebanyak 180 cupak beras iaitu bersamaan dengan RM342.00 dan boleh buat bayaran kepada kami.

      Untuk urusan pembayaran Kaffarah, sila hubungi @ Whatsapp: 013-2000784. Email : ezfidyah.ezq@gmail.com

  14. assalamualaikum ustaz… nak tanya, jika tak pasti berapa hari tinggalkan puasa ramadhan, adakah kaffarah sama jumlah atau lebih, terima kasih.

    • Wa’alaikumussalam Habsah, jika terlupa jumlah hari puasa yang ditinggalkan, ambillah jumlah purata kebiasaan meninggalkan puasa pada tahun2 yang lalu. Dan disarankan supaya lebihkan bilangan hari puasa ganti.

      Jumlah hari puasa yang ditinggalkan tidak menjadi berganda, yang hanya berganda adalah Fidyahnya jika telah melangkaui tahun demi tahun.
      contohnya:

      Tinggal Puasa 2018 – 1 hari = RM1.90 x 2 tahun lepas = RM3.80
      Tinggal Puasa 2017 – 1 hari = RM1.90 x 3 tahun lepas = RM5.70
      Tinggal Puasa 2016 – 1 hari = RM1.90 x 4 tahun lepas = RM7.60
      JUMLAH PUASA : – 3 hari = RM17.10 (Bayaran Fidyah)

    • Assalamualaikum ustaz,saya telah berniat puasa sebulan,lepastu pada hari ketiga puasa,selepas berbuka saya telah keluar mani dgn sengaja,adakah niat puasa sebulan saya terbatal?mohon jawab soalan saya ustaz…saya kemusykilan

      • Wa’alaikumssalam Muhd Izwan, niat puasa sebulan tidak terjejas dengan keluarnya air mani samada dengan sengaja ataupun tidak sengaja. Namun, dalam mazhab syafie, mensyaratkan agar berniat puasa pada setiap malam-malam ramadan.

  15. Assalammualaikum ustaz, sy nk tnya ..saya sdh brniat puasa utk kesokkn hriny n then scara tidak sengaja sya terlanjur bgun utk bersahur sprt cnth waktu subuh jam 0510hrs dan sya trbgn tidur jam 0518hrs buka mata dr tidur trus mnum segelas air dan mkn 2 biji kurma..adakah puasa sya itu batal atau tdk ustaz?

    • Wa’alaikumussalam M Ridzwan, Jika tuan makan sahur setelah masuknya waktu subuh, maka batallah puasa dan wajib diganti pada hari yang lain.

  16. assalammualaikum ustaz
    sah ke puasa saya dgn yakinnya sy minum ketika waktu subuh sudah masuk.. sebab nya masa saya minum tu azan di masjid belum lagi berkumandang.. lepas saya minum dan ambil wuduk baru azan berkumandang.. bila sy tgok jam rupanya azan di masjid lewat bberapa minit masuknya waktu subuh dan sy mmg tak tahu subuh masuk pukul berapa

  17. assalammualaikum ustaz sah ke puasa saya kalau sy minum ketika waktu subuh sudah masuk.. sebab nya masa saya minum tu azan di masjid belum lagi berkumandang.. lepas saya minum dan ambil wuduk baru azan berkumandang.. bila sy tgok jam rupanya azan di masjid lewat bberapa masuknya waktu subuh

    • Wa’alaikumussalam Aini, puasa sah jika tidak tahu telah masuk waktu subuh kerana tidak kedengaran azan. Lazimnya kita akan berpandukan kepada laungan azan di masjid. Tetapi, jika bersahur ketika sudah masuknya waktu subuh dan kita sudah mengetahui hal tersebut, maka batal puasanya.

  18. salam..ustz..saya ada sedikit konflik…nk tanye…bagaimana sekiranya mengeluarkn mani dgn sengaja di mlm hari….tetapi sudah niat berpuasa sebulan….adakah puasanya di hari seterusnya masih sah?

    • Wa’alaikumussalam Kim, mengeluar air mani pada waktu malam tidak menjejaskan niat puasa. Tetapi, jika perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja pada siang hari, maka batallah puasanya. Wajib diganti pada hari yang lain. Tambahan pula, perbuatan tersebut adalah haram dan perlu bertaubat.

  19. Assalamualaikum…kalau dh masuk waktu imsak masih boleh makan ka? Sah tak puasa mkn selepas waktu imsak.. Tapi belum masuk waktu subuh lagi..

    • Wa’alaikumussalam Muhammad Firdaus, waktu imsak adalah waktu berjaga-jaga supaya kita segera menghabiskan makan sahur. Jika makan sahur ketika waktu imsak, tidak membatalkan puasa asalkan masih belum masuk waktu subuh. Maka, afdhalnya berhenti makan ketika sudah masuk waktu imsak, kerana dikhuatiri terlajak waktunya atau sudah masuk waktu subuh tanpa disedarinya.

      • Assalamualaikum..benda ni bru terjadi pada saya ..,saya sendawa tapi mcm terkeluar sedikit rasa makanan..contoh sahur tdi saya minum air milo.. Lpas solat subuh saya sendawa dn rsa mcm ada rsa milo dlm mlut..tp saya meludah dan berkumur selepas itu…apa hukum ya bagi situasi saya ni, sah tak puasa saya? ?

        • Wa’alaikumussalam Firdaus, tidak batak puasa jika sendawa terasa makanan di kerongkong. Kalau rasa termuntah sedikit atau terlekat dalam mulut, ia perlu diluahkan dan berkumur2. Jika telah semula, maka batal puasa.

  20. assalamualaikum ustaz , saya nak tanya ketika 1 ramadhan saya masih datang bulan dan hari kedua saya sudah bermula puasa dan malam tu saya niat puasa sebulan tetapi pada hari kedua tu saya datang bulan lagi dan saya lupa nak niat puasa sebulan tetapi saya niat puasa pada esok hari . adakah batal puasa saya jika saya tidak ulang semula ingin niat sebulan puasa ?

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, jika telah berniat puasa pada malam hari (samada niat puasa untuk sebulan / puasa esok hari sahaja) kemudian datang bulan, maka tidak boleh meneruskan puasa pada esok hari, namun ia tidak menjejaskan niat puasa selama sebulan – masih boleh dipakai. Adapun untuk menghilangkan rasa was-was, adalah lebih baik untuk mengulangi / memperbaharui niat puasa tersebut – setelah bersuci daripada hadas besar.

  21. Assalamualaikum ustaz, nam bertanya jika kita bersetubuh dengan pasangan di waktu malam, bukan siang.

    Adakah niat sebulan puasa kita terputus dan harus berniat semula (hari-hari) ?

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, tidak terputus niat puasa dan anda boleh terus berpuasa seperti biasa. Kerana waktu malam dibenarkan untuk bersama dengan pasangan dan perbuatan tersebut tidak menjejaskan niat puasa yang dilakukan di malam hari.

  22. Aassalam ustaz malam tadi sya dh baca niat puasa untuk esok hari tetapi malam ini sya secara tidak sengaja terkeluar air mani sebelum sahur.adakah sya masih boleh teruskan berpuasa ustaz

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah, keluar air mani pada waktu malam tidak menjejaskan niat puasa. Kerana tempoh waktu puasa ialah bermula terbit fajar (azan subuh) sehingga terbenam matahari (azan maghrib), dan dalam tempoh berkenaan kita dilarang melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa termasuk mengeluarkan air mani dengan sengaja (kecuali melalui mimpi).

      Maka, boleh terus berpuasa dan jangan lupa mandi wajib.

  23. Assalamualaikum ustaz. Sy nk tnya. Bru terjadi td slepas sy sahur. Sy muntah byk mungkin ats sbb mknan itu sudah rosak ataupon sbb2 laen wallahualam. Tp mmg byk sngt 4 kali sy muntah dlm masa singkat hingga buatkn perut sy kosong terus dan tekak terasa amat2 kering. Soalan sy adakah batal puasa itu dan perlu diganti ke? Sy rasa mcm nk truskn berpuasa tp mmg tkda tenaga, terketar satu badan and tekak teramat kering. Adakah puasa sy dh batal ustaz?

    • Wa’alaikumussalam Amirol, batal puasa jika muntah dengan banyak ketika sedang berpuasa. Dalam hal demikian, kes ini dikategorikan sebagai sakit – tidak terdaya untuk berpuasa, maka harus berbuka. Dan gantilah puasa pada hari yang lain. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT:
      وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
      Maksudnya: “dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak
      hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain
      “. (surah Al-Baqarah, Ayat 185)

      • Okay ustaz. Terima kasih. Sy confuse sbb td trus search dan sy ada terbaca satu artikel yg mengatakan kalau muntah dgn tak sengaja tak perlu ganti. Kalau muntah dgn sengaja barulah ganti. Sy waswas dan sy cari2 lg jwpan. Alhamdulillah dpt tahu jwpan yg tepat dri ustaz. Dan satu lg nk tnya berkaitan ini jgk. Sy dah niat puasa sebulan, disebabkn muntah ni dan puasa batal kn, esok dan hari sterusnya perlu niat lain lg ke?

        • Batal puasa dengan sebab muntah atau sebab-sebab lain tidak menjejaskan niat puasa sebulan. Namun begitu, niat puasa perlu diperbaharui pada setiap malam.
          Sabda Rasulullah SAW:

          مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَلا صِيَامَ لَهُ
          Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka puasanya tidak sah (tidak diterima)” – Riwayat Al-Baihaqi.

  24. Assalamualikum ustaz.. Nak tanya, kalau sy dah niat puasa sebulan pada waktu malam/malam ramadhan.. Dan kemudian keesokan harinya( hari pertama puasa) sya membaca niat pada waktu pagi/selepas subuh adakah terbatal puasa sy?

    • Wa’alaikumussalam Norliza, niat berpuasa sebulan adalah pandangan dalam mazhab maliki. Namun dalam mazhab syafie mensyaratkan niat puasa pada setiap malam.

      Dalam kes cik/puan Norliza, sah puasa kerana niat puasa itu digunapakai untuk hari pertama puasa, tidak mewakili hari kedua dan seterusnya. Adapun pada malam yang lain, hendaklah berniat pada setiap malam sesuai dengan pendapat muktamad dalam mazhab syafie.

      Namun demikian, terdapat sebahagian ulamak yang mengatakan sah dan memadai niat sebulan berpuasa. Tetapi, saya lebih cenderung kepada pendapat terkuat dan muktamad dalam mazhab Asy-Syafie mengatakan wajib berniat pada setiap malam.

  25. Assalamualaikum, Ustaz.

    Saya ingin bertanya, jika saya niat puasa pada waktu sebelum sahur (cth: 5 pagi) perlu ke saya tukar bacaan ‘esok hari’ kepada ‘hari ini’ ? seperti “Sahaja aku berniat untuk berpuasa pada hari ini dalam bulan Ramadan, pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”.

    Saya harap Ustaz dapat membalas.
    Terima Kasih.

    • Wa’alaikumussalam Hamba Allah Yang Disayangi, boleh saja tukar ‘hari ini’ pada lafaz niat puasa, sesuai dengan waktunya. Kerana lafaz niat yang asal disebut dengan ‘esok hari’ ini disebabkan syarat berniat puasa (dalam Mazhab As-Syafie) mesti dilakukan pada malam hari. Cuma jika tidak berniat pada malam hari (sebelum tidur), maka boleh saja berniat pada waktu sahur, dan waktu itu juga masih dikira sebagai malam hari.

      Asalkan tidak berniat diluar waktunya seperti berniat selepas masuk waktu subuh, maka tidak sah niat dan puasanya.

  26. Salam Ustaz, adakah puasa ramadhan diterima jika sudah niat puasa malam sebelumnya ketika masih dalam haid.
    Kemudian keesokkan paginya, sahur sebab yakin habis haid tetapi mandi wajib setelah tamat waktu subuh kerana terlajak tidur. Adakah puasa diterima?

    • Wa’alaikumussalam Nonamanis, tidak sah niat puasa ketika masih dalam haid. Tetapi jika sudah yakin berhenti haid pada waktu malam, kemudian berniat puasa, maka sah puasanya walaupun belum mandi wajib.

      Dalam kes cik/puan ini, boleh berniat ketika bangun sahur dan dalam masa yang sama sudah berhenti haid dengan yakin. Kemudian selepas itu, tidak mengapa jika terlewat mandi wajib. Cuma sesetengah ulamak mengatakan hukum makruh melewatkan mandi wajib.

  27. Assalamualaikum,harap sgt dibalas dn dijawab pertanyaan ini,sbb dh lama keliru,katakan kita dgr azan dari masjid menandakan masuk waktu maghrib lalu kita berbuka,tapi kalau tgk dkt kuar,langit masih cerah dan matahari masih tidak terbenam,jadi bagaimana ustaz? Sah ke tidak puasa kalau kita berbuka ikut azan dn bukan bila matahari terbenam,barakallahu fiik ustaz

    • Wa’alaikumussalam Arief, masuknya waktu solat maghrib (waktu berbuka puasa juga) adalah berdasarkan kaedah ilmu falak dibawah seliaan JAKIM. Dalam hal ini, mereka yang diberi tanggungjawab untuk menentukan Taqwim dan Waktu-waktu solat di seluruh Malaysia.

      Biarpun kadang-kadang kita menyangka matahari belum terbenam tetapi sudah masuk waktu maghrib. Itu hanyalah pada pandangan mata kita, tetapi barangkali di sesetengah kawasan lain pula, matahari telah terbenam (bergantung kepada keadaan cuaca). Kerana ukuran matahari terbenam itu bukan pada pandagan mata kita, ia perlu mengikuti beberapa kaedah Falak.

      Maka dalam hal ini, kita wajib mengikuti sahaja waktu solat atau waktu berbuka puasa yang telah ditetapkan oleh Majlis Falak Syarie.

  28. Assalamualaikum Ustaz. sya sudah berniat puasa untuk sebulan, saya ada tertelan sisa makanan di dalam mulut maka batallah puasa saya. Adakah saya perlu lafaz niat puasa untuk sehari atau teruskan dengan niat puasa sebulan.

    • Wa’alaikumussalam Rafi, disyaratkan niat puasa pada setiap malam dalam mazhab As-Syafie. Adapun niat berpuasa sebulan adalah pandangan dalam mazhab maliki.
      Namun, dalam hal ini, jika tertelan sisa makanan dengan sengaja, maka batallah puasa. Tetapi, jika tertelan sisa makanan yang sukar dibezakan / diluahkan kerana telah bercampur dengan air liur, tidak batal puasa.

  29. Assalamualaikum Ustaz. Sy ada kemusykilan. Ketika bersahur saya telah minum air dan menjangkakan subuh belum masuk. Walhal sudah 5 minit waktu sahur telah berlalu. Apakah sy perlu mengganti puasa saya.
    Sekian.

    • Wa’alaikumussalam Ammar, ye..wajib ganti puasa kerana puasa pada hari tersebut telah terbatal dengan bersahur ketika sudah masuk waktu subuh.

  30. Assalamualaikum ustaz. Saya terminum air selepas sesudah azan saya ingat masatu belum waktu subuh. Lepastu adik saya menegur saya bahawa subuh telah masuk waktu, dan saya terus berhenti minum. Adakah batal puasa saya?

    • Wa’alaikumussalam Zarianah, makan dan minum sesudah azan subuh adalah batal puasa walaupun tidak menyedari telah masuknya waktu subuh. Tetapi, jika terminum dalam keadaan tidak sengaja maka tidak membatalkan puasa.

  31. Assalamualaikum ustaz. Sekiranya datang haid pada bulan ramadhan. Dan hari terakhir tu masih was2 dah boleh puasa ke tak, tapi malam tu dah berniat utk puasa keesokkan hari tapi mandi wajib setelah terbit matahari. Puasa sah atau tidak?

  32. Assalamualaikum ustaz. Sekiranya datang haid pada bulan ramadhan, pastu hari last tu masih was was tak yakin dah boleh puasa ke tk. Tapi malm tu dah niat utk puasa keesokkan hari tapi mandi wajib selepas matahari terbit. Sah ke tidak puasa tu?

    • Wa’alaikumussalam Julia. Sah puasanya, jika telah yakin darah haid telah berhenti sepenuhnya.

  33. Assalamualaikum ustaz. Sy terlewat jaga dari tidur dan azan subuh dah berkumandang. Disaat akhir azan bunyi br saya teringat saya belum berniat puasa ramadan dan dengan segera saya lafazkan niat tersebut. Adakah puasa saya sah atau sebaliknya? Terima kasih.

    • Wa’alaikumussalam Nisha, tidak sah puasa tanpa niat yang dilakukan di malam hari, iaitu dalam tempoh sebelum masuknya waktu subuh. Tetapi, jika pernah berniat sebulan puasa (pada awal ramadan), atau pada malam itu telah membuat persiapan untuk bangun sahur (cuma tidak terjaga), maka itu juga boleh dikira sebagai sandaran kepada Niat. Maka sahlah puasanya.

  34. Assalamualaikum ustaz, Saya ingat subuh masuk 5.51 pg hari ni,tetapi rupa2nya 5.50 pg. Tapi pukul 5.50pg tadi saya minum sedikit air sbb saya fikir ada lagi seminit. Kemudian 2,3 saat selepas habis minum ,baru saya dengar azan subuh mula berkumandang dekat luar. Sah ke puasa saya ustaz?

  35. Assalamulalaikum ustaz, saya nak tanya… pagi ni saya ingatkan subuh masuk pada 5.46am dan pada pukul 5.44am saya masih lagi meminum air kerana saya merasakan belum masuk lagi waktu subuh, tapi bila saya cek waktu subuh di http://www.maij.gov.my/?page_id=515 , waktu solat subuh menunjukkan pada 5.43am. Tambahan, azan subuh tidak kedengaran. Adakah sah atau batal puasa saya ustaz untuk hari ni?

    • Wa’alaikumussalam Ahmad Faizul, batal puasa pada hari tersebut kerana telah makan/minum setelah masuknya waktu subuh. Oleh sebab itulah, para ulamak menyediakan kaedah WAKTU IMSAK supaya kita dapat berjaga-jaga dan tidak terlajak makan atau minum ketika sudah masuknya waktu subuh.

  36. Assalamualaikum ustaz, saya nak tnya, apakah hukum terlupa membaca doa buka puasa waktu berbuka puasa? maksudnya, si fulan dah makan selepas itu baru si fulan teringat tak baca lagi doa. Mohon pencerahan dari ustaz, terima kasih.

    • Wa’alaikumussalam Shah Zainal, hukum membaca doa berbuka puasa adalah sunat semata-mata. Oleh itu, Makan ketika telah masuknya waktu maghrib itu sudah dikira sebagai Berbuka Puasa. Apapun, membaca doa ketika berbuka puasa amatlah besar ganjarannya.

  37. assalammualaikum ustz.. jika tidak yakin dengan ibadah puasa yang kita lakukan semasa berpuasa, adakah ibadah puasa itu terbatal?

    • Wa’alaikumussalam Kuni, ragu-ragu atau waswas boleh merosakkan / membatalkan ibadah tersebut. Maka apabila ingin melakukan sesuatu ibadah seperti puasa, hendaklah berniat dengan yakin dan jelas tanpa ada rasa ragu-ragu di dalam hati.

  38. Assalamualaikum ustaz saya nak tanya, kalau pada waktu malam saya terlupa nak niat puasa dalam bahasa arab tu tapi saya ada mengingatkan adik saya yg esok nak puasa dan mmg dah set alarm nk bangun sahur tapi x bangun sahur, adakah sah utk puasa?

    • Wa’alaikumussalam Maisarah, Sah puasa pada hari tersebut walaupun tidak melafazkan niat puasa dalam bahasa arab. Memadai dengan membuat persediaan untuk bangun sahur seperti set alarm, pesan untuk dikejutkan bangun sahur itu sudah dikira / disandarkan sebagai niat puasa.

      Apapun, yang terbaik ialah mesti berniat puasa dengan yakin dan jelas pada waktu malam hari. Tujuannya ialah untuk menghilangkan rasa waswas.

  39. Assalamualaikum ust..semalam saya tak sihat gastrik jadi pada waktu malam sebelum tido saya ada terfikir kalau esok (iaitu hari ni) saya masih sakit jadi saya tanak puasa. Dan pada hari ni saya terlepas sahur sbb masih sakit perut..apabila saya bgn ketika matahari sudah naik saya sudah kurang sakit..jadi apakah puasa saya hari ni sah atau pon tak?

    • Wa’alaikumussalam Haidah, ibadah puasa mestilah dilakukan dengan niat yang sahih. Maka apabila seseorang itu hendak berpuasa, maka (dalam mazhab As-Syafie) dia wajib berniat pada waktu malamnya. Namun, islam juga memberi keringan bagi orang yang sakit untuk tidak berpuasa, kemudian gantilah puasa tersebut pada hari yang lain.

      Dal hal ini, cik/puan Haidah telah berniat untuk tidak mahu berpuasa pada esok harinya kerana sakit. Maka, tidak sah jika diteruskan puasa kerana tiada niat yang jelas.

  40. Assalamualaikum ustaz,saya terlupa baca niat puasa tetapi saya telah berniat dengan cara “Aku nk puasa esok”adakah dikira sah puasa saya?

    • Wa’alaikumussalam Yaya, sah puasanya kerana dengan cara itu juga telah dikira sebagai niat.

  41. Assalammualaikum ustaz, saya nak tanya berkenaan dengan puasa enam bulan syawal atau qada puasa. Terbatalkah puasa saya sekiranya saya tidak sengaja terminum atau termakan. Kerana saya pernah mendengar satu ceramah, (tapi saya x ingat bila) ada menyatakan terbatal puasa seseorang itu jika tidak sengaja terminum atau termakan sekiranya dia berpuasa sunat atau qada puasa kecuali Puasa pada bulan Ramadhan.

    Sekian, terima kasih.

    • Wa’alaikumussalam Alai Azim, makan atau minum tanpa sengaja kerana terlupa sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

      مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

      Maksudnya: Barangsiapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa, lalu dia makan dan minum, maka hendaklah dia meneruskan puasanya (yakni tidak batal puasa). Sesungguhnya Allah SWT yang memberinya makan dan minum itu. (Riwayat Muslim)

  42. Assalamualaikum ustaz Saya mahu nanya, jikalau saya berniat puasa qada’, malam itu saya ada bersama suami dan tersedar jam 6 lebih pagi ( sudah lepas azan subuh ) & baru mandi wajib masa itu, adakah sah puasa qada’ saya? dan adakah saya perlu double ganti saya bagi ini sekiranya tidak sah?

    • Wa’alaikumussalam Aida, sah puasa dan tak perlu qadha’ cuma melewatkan mandi wajib ketika sedang berpuasa hukumnya adalah makruh, tetapi tidak membatalkan puasa.

  43. Assalam ustaz. Saya nak tanya. Saya nak puasa ganti tapi bila saya bangun pagi, jam sudah pukul 8.saya terus solat subuh sbb setau saya, kalau mmg tak terjaga spnjg waktu subuh, kita boleh laksanakan solat subuh seperti biasa. Kalau saya salah, tlog betulkan ya ustaz. Soalan saya, bagaimana dgn pahala puasa saya pada hari itu? Adakah sah puasa saya kalau dlm situasi begini?

    • Wa’alaikumussalam Yanaaa. Pertama, solat subuh itu perlu dilakukan (solat qadha / ganti) walaupun telah lewat bangun pagi. Kedua, sah puasa pada hari tersebut, dengan syarat sudah berniat puasa sebelum tidur iaitu pada malam hari. Berkenaan dengan pahala puasa itu adalah urusan Allah SWT. Jika kita telah memenuhi syarat dan rukun berpuasa, insya’Allah, mudah-mudahan memberi ganjaran pahala berlipat kali ganda.

  44. Assalamualaikum ustaz…
    Saya ada pertanyaan sah @ tidak puasa ganti saya pada hari ke-6 saya tidak bangun sahur(x dengar bunyi alarm) tetapi saya berniat ganti puasa selama 8 hari tanpa henti tetapi tidaklah baca niat pada malam hari cuma memang berniat nk ganti ‘straight’ ustaz.

    • Wa’alaikumussalam Rena, sah puasa meskipun tanpa bangun sahur, tetapi wajib disertakan niat. Kerana Niat adalah syarat utama ibadah puasa, dan niat itu dilakukan pada setiap malam (diulangi setiap hari). Adapun sebahagian ulamak berpendapat bahawa harus berniat sekaligus seperti yang Rena lakukan, niat berpuasa 8 hari sekaligus dengan sekali niat. Maka ia juga diambil kira.

      Sebaiknya, berniatlah pada setiap malam sebelum tidur – dan inilah pendapat terkuat dalam mazhab As-Syafie.

  45. assalamualaikum ustaz, jika sy hanya bpuasa sunat hari putih pd 13&14 bole ke ustaz? pd 15 tu sy skip.. bole ke?

    • Wa’alaikumussalam Ifa, boleh berbuat demikian. Tidak menjadi masalah kerana puasa tersebut hukumnya adalah sunat sahaja. Namun, tertibnya mestilah berpuasa pada 13,14,15hb.

  46. Assalamualaikum ustaz… Saya ingin bertanya… Saya telah niat puasa ganti sebanyak 5 hari manakala hari keenam saya niat puasa 6 syawal. Adakah dibolehkan dan dikira saya telah melaksanakan puasa sunat 6 syawal. Mohon pencerahan

    • Wa’alaikumussalam Noriha, sebahagian ulamak berpendapat bahawa jika berpuasa ganti dalam bulan syawal, secara automatik dikira mendapat pahala berpuasa 6 hari dalam bulan syawal. Maka tidak menjadi masalah jika berbuat demikian. Adapun, jika berkemampuan, boleh sahaja berpuasa 6 hari syawal secara berasingan dengan puasa ganti.

  47. Assalamualaikum ustaz sy nak tanya apa hukum kalau kita masih minum air. Tapi selepas itu kita lihat jam dan dapati ianya telah masuk waktu subuh. Semasa minum air xtahu yang telah masuk subuh sebab azan masjid tidak dilaungkan.

    • Wa’alaikumussalam Aikah, makan dan minum ketika sudah masuknya waktu subuh adalah batal puasa, meskipun tidak menyedari telah masuknya waktu subuh atau tidak mendengar azan. Kerana perbuatan makan dan minum yakni bersahur itu dilakukan dengan sengaja, maka berbeza pula dengan makan dan minum disebabkan terlupa sedang berpuasa.

  48. Assalamualaikum ustaz, syawal tinggal 6 hari , saya telah berniat utk ganti puasa dan puasa 6. pada hari ke2 saya terjaga pkl 6.30pagi. tidak sempat sahur. Adakah boleh diteruskan puasa tersebut kerana saya tidak baca niat pd mlm hari ke2 dan tidak sahur. saya hanya berniat pada hari pertama ganti puasa dan puasa 6 utk 6 hari. Kalau puasa 6 dapat dibuat selama 3 hari sahaja tidak lengkap 6 hari, adakah dikira puasa 6 juga?
    Tima kasih, ustaz.

    • Wa’alaikumussalam Ida, sah puasa tanpa bersahur dengan syarat telah berniat pada malam harinya. Jika tidak maka tak sah puasanya. Manakala puasa 6 hari syawal diambil kira jika dapat berpuasa penuh selama 6 hari, kecuali dengan sebab uzur syari’e.

  49. Kadangkala berpuasa ada sebut rasa lapar. Bagaimana pula gangguan atau lintasan hati seperti rasa nak makan. Tp tahu sedang berpuasa dan meneruskan. Adakah batal puasa?

    • Tidak batal puasa. Kecuali berniat untuk makan dan batalkan puasa. Maka akan terbatallah puasanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here